Minggu, 21 April 2013

Biografi YB Dato’ Hj Che Abdullah - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan - Halaman Moeka P.


Pengantar

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Manusia diciptakan Tuhan sebagai makhlukNya yang paling sempurna. Pun begitu, kesempurnaan manusia bukanlah menafikan kelemahan dan kekurangan padanya. Manusiakan makhluk. Yang paling sempurna adalah al-Khaliq. Dialah yang paling sempurna kerana Dia adalah Zat Yang Awal dan Akhir.
Justeru maksud kejadian yang paling sempurna adalah kesempurnaan ciptaanNya ke atas manusia berbanding segala ciptaanNya yang lain. Manusia, seperti makhluk Allah yang lain, awal dan akhirnya adalah lemah dan serba kekurangan.

Maka antara ciri kemanusiaan adalah sifat kebergantungan kepada sesuatu yang akan menampung dan mencukupkan kekurangannya. Ciri ini, di sebalik ketandaannya ke atas kekurangan manusia, hakikatnya menjadi medan yang luas buat manusia bergerak memacu kejayaan menyempurnakan dirinya yang telah diciptakan dengan acuan yang paling baik dan sempurna.

Sibghatullah..
Bayangkan makhluk manusia, jika tidak disediakan untuknya kelengkapan-kelengkapan daripada luar dirinya, bagaimana dia dapat memajukan dirinya sebagaimana hari ini? Dia memiliki dua tangan yang terhad kekuatannya. Bagaimana dia mampu membina bangunan mencakar langit jika tanpa jentera dan kuasa?
Dia memiliki sepasang mata dan telinga yang terlalu terhad. Bagaimana dia mampu melontar pandangannya  ke bintang-bintang di langit atau mendengar daripada beribu-ribu batu jauhnya jika tanpa peralatan dan teknologi moden hari ini?

Nah, kebergantungan manusia kepada sesuatu hakikatnya adalah perjalanannya menuju kesempurnaan. Jika tidak, atau jika manusia enggan bergantung kepada apa-apa dan hanya berpada dengan kekuatan asal ciptaan dirinya, dia hakikatnya hanya mampu mundar mandir bersama haiwan di hutan. Manusia pasti gagal memajukan dirinya.

Justeru apa yang diperlukan manusia adalah hampir-hampir sepenting manusia itu sendiri.
Manusia perlukan ilmu. Bukankah ilmu itu sepenting manusia? Manusia perlukan ibu dan bapa, terutama untuk memulakan kehidupan awalnya. Bukankah ibu bapa itu sepenting dia sendiri? Manusia perlukan isteri sebagai pasangan. Bayangkan lelaki tanpa wanita yang dihadirkan untuk menyempurnakan kejadiannya yang kurang itu..

Jika kita mengingati ilmu tasawwuf Islami, ada ditekankan bahawa kita akan menjadi semakin kuat selama mana kita bergantung kepada yang lebih kuat. Justeru orang paling kuat ialah orang yang bergantung hanya kepada Allah. Allahlah yang maha kuat.

Kemudian, mari kita berbicara pasal kawan, rakan, teman dan sahabat. Adakah anda telah jelas, bahawa mereka hakikatnya adalah kawanan manusia yang kita perlukan mengelilingi kita untuk proses penyempurnaan diri?

Sahabat dan bersahabat adalah unsur dan aktiviti kehidupan manusiawi yang bersifat madani. Ia begitu penting ke arah menyempurnakan diri, masyarakat dan kehidupan. Justeru ia sering dibicarakan dan diperincikan peranannya agar kita mampu mengoptimumkan kecapaiannya.

Salah memilih sahabat, bengkok dan rosaklah kehidupan. Betul memilih sahabat, baik dan eloklah kehidupan. Ia sepenting kita memilih pemimpin. Sahabat kita dan pemimpin kita adalah bagai acuan yang membentuk diri kita. Manusia, bahagia dan celakanya di dunia dan akhirat terlalu banyak disebabkan oleh rakan dan sahabat. Al Quran dan Hadis al Rasul صلى الله عليه وسلم banyak mengingatkan kita agar memilih sahabat dan rakan yang terbaik.

Buku yang berada di hadapan kita adalah sebahagian daripada usaha 'sesama insan' untuk saling berbakti. Ia berkisar mengenai sahabat, guru, qudwah dan rakan seperjuangan. Penulis berusaha memperkenalkan seorang sahabatnya yang baginya telah banyak menyumbang kepada kejayaan dirinya dan masyarakat sekeliling.
Saya juga mengenali Che Abdullah Nawi sebagai sahabat yang akrab. Istimewa beliau bagi persahabatan kami banyak. Antaranya, dialah yang paling akrab daripada kalangan rakan-rakan yang pernah belajar di Amerika Syarikat. Bahkan, maklumat saya mengenai negara Amerika banyak diperolehi daripadanya.
Saya mengenalinya sebaik kami pulang dari perantauan dan pengajian. Saya dari aliran agama dan Timur Tengah ditemukan oleh program usrah yang kami gerakkan sendiri di Kelantan. Usrah kami menghimpunkan kepimpinan pelajar dari serata negara luar. Mesir, Saudia, India, Pakistan, UK, Australia dan Amerika. Ia sebuah usrah alumni yang dinamik. Walaupun usrah itu hari ini telah terhenti, tetapi persahabatan antara kami begitu erat, apatah kami hanya berpusing di negeri Kelantan Darul Naim.

Persahabatan saya dengan rakan-rakan profesional, termasuklah dengan Che Abdullah Nawi, begitu banyak membantu saya membina pengalaman hidup. Semakin kita melihat keperluan kita tersimpan di sisi rakan, semakin kita mengharapkan daripadanya. Daripada situ, persahabatan menjadi semakin erat.
Persahabatan dan keakraban adalah keajaiban. Kita kadang-kadang dianugerah rasa kesatuan dan kekuatan yang hebat. Ia membangkitkan semangat kehidupan yang luar biasa.

Buku ini pastinya dipenuhi pujian terhadap sahabat. Pastinya juga, kelemahan sahabat akan disenyapkan semampunya. Itu lumrah. Buku ini adalah ucapan tahniah untuk rakan yang telah banyak membantu diri dan diharapkan dapat membantu yang lain, bukan bertujuan sekadar bercerita baik dan buruk. Jika mahu membaca keburukan, bacalah buku perihal musuh, bukan perihal sahabat.

Pesan ugama, segala pujian itu milik Allah semata-mata. Kita memuji sesama kita berdasarkan zahir kita. Allahlah yang mengetahui segala yang batin dan sebenar. Kemudian, kita tidak boleh melampau sehingga melintasi sempadan. Hanya Allahlah yang paling benar memuji sesiapa yang dikehendakiNya. Kemudian, kita mestilah mengharapkan ridha dan ganjaran daripadaNya. Memuji kebaikan adalah kebaikan.
Saya yakin buku ini cukup bermanfaat. Selamat membaca..

0 komentar: